Friday, 19 August 2016

Keliru tentang Darah Haid? Mahukan Penjelasan?


Assalamualaikum wbt.. hari ni Yam nak kongsikan tentang persoalan mengenai darah haid dek kerana ramai yang mengambil set kesuburan bertanyakan tentang hal ini, Yam rasa perlu untuk kongsikan ilmu ini. Alhamdulillah..  rezeki Yam selepas keluar dari program realiti Solehah Tv Hijrah 2011, Yam cuba dapatkan tauliah mengajar dari MAIS dan kini Allah izinkan mengajar dengan tauliah dan di Syarikat Mantop Training & Consultantcy juga adalah trainer untuk bahagian Fiqh Wanita bagi peserta korporat. Ni ilmu Yam setakat pengajian dan kajian yam.. Kalau ada tersalah Yam mohon perbetulkan ya.. Jazakumullahukhairan jaza' :)


Darah Haid

Apa itu darah haid?
Haid dari segi istilah ialah darah yang mengalir keluar dari kemaluan wanita dari dalam rahimnya (uterus) kerana semulajadi (bukan kerana penyakit atau kerana selepas melahirkan anak). Keluarnya pada masa tertentu apabila seorang wanita telah mencapai umur tertentu.
Apa syarat-syarat darah haid?
Syarat-syaratnya adalah
1. Warna darah yang keluar menepati ciri-ciri warna darah haid.
2. Seorang wanita itu telah mencapai umur kemungkinan haid. Maka darah yang keluar sebelum umur tersebut tidak dianggap haid.
3. Rahimnya kosong dari anak kerana wanita yang hamil tidak mungkin akan kedatangan haid mengikut jumhur ulamak (kecuali Syafie dan Malik).
4. Hendaklah tempoh kedatangan haid tidak kurang dari tempoh minimanya.
5. Hendaklah kedatangannya tidak melebihi tempoh maksimanya.
6. Hendaklah kedatangannya didahului oleh tempoh suci yang paling pendek (iaitu 15 hari mengikut mazhab Syafie) bagi wanita yang telah biasa kedatangan haid.

**Jika darah yang keluar memenuhi syarat-syarat di atas, ia adalah darah haid. Jika tidak, maka ia bukan darah haid tetapi darah istihadhah.


Apakah warna darah haid?
 Warna darah haid ada lima, iaitu;
1. Hitam
2. Merah
3. Asyqar (warna antara merah dan kuning)
4. Kuning
5. Keruh
Kebiasaannya, mula-mula datang haid berwarna hitam, kemudian berubah kepada merah, kemudian antara merah dan kuning, kemudian kuning dan akhirnya keruh (yakni antara putih dan hitam).

Tanda habisnya haid ialah warna putih atau tiada sebarang warna. Apabila hilang semua warna-warna tadi sama ada kelihatan warna putih (seperti kapur putih yang disebut oleh Aisyah r.a. dalam hadisnya) atau tidak kelihatan sebarang warna, maka itu tandanya darah haid telah habis. Ketika itu, barulah ia boleh mandi dan melakukan ibadah sebagaimana wanita yang suci.

Bilakah warna kuning dan keruh dianggap haid dan bila pula tidak dianggap haid?
Warna kuning dan keruh hanya dianggap haid pada hari-hari kebiasaan haid. Ini berpandukan kepada hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; para wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. 
(**Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya adakah mereka telah suci dari haid atau belum lagi.). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”. (Riwayat Imam al-Bukhari)
Adapun selepas hari kebiasaan haid (yakni pada hari-hari suci), maka warna kedua-duanya bukanlah darah haid. Ini berdasarkan kenyataan Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menyebutkan; “Kami tidak menghitung warna keruh dan juga kuning selepas suci (yakni setelah habis haid) sebagai sesuatu (dari darah haid)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Abu Daud)

Berapakah umur kemungkinan datangnya haid?
Menurut jumhur ulama (termasuk mazhab Syafie, Hanafi, Hanbali dan kebanyakan ulamak mazhab Maliki); sekurang-kurang umur datangnya haid ialah sembilan tahun (Hijri). Maka menurut pandangan ini, darah yang kelihatan sebelum sembilan tahun bukan darah haid, tetapi darah penyakit (istihadhah).
Wanita yang dah datang haid : Kalau umurnya telah genap sembilan tahun mengikut pandangan jumhur tadi,, ia dianggap telah baligh dan dituntut melaksanakan kewajipan-kewajipan Syarak. 

Berapakah umur putusnya haid?
Menurut mazhab Syafie; tidak ada umur tetap bagi putusnya haid. Ia hendaklah dikiaskan kepada ahli-ahli keluarga terdekat bagi seorang wanita dari pihak bapa dan juga pihak ibu seperti ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu-ibu saudara sebelah ibu. Hal tersebut kerana faktor keturunan. Namun jika perlu untuk dilihat kepada faktor umur, maka Imam Syafie menganggarkan bahawa umur putus haid ialah selepas 62 tahun kerana ia adalah umur kebiasaannya wanita putus haid.


Apa yang perlu dilakukan oleh wanita yang telah putus haidnya?
ha.. yang ni penting.. Ramai orang keliru. Perlu di ingatkan wanita yang telah putus haid, ia hendaklah bertindak sebagai perempuan yang suci sepanjang masa sama ada dari segi ibadah atau hukum-hakam yang lain. Dalam masalah eddah pula, ia hendaklah bereddah mengikut bulan, bukan mengikut bilangan haid atau bilangan suci lagi.


Adakah perempuan mengandung ada kemungkinan datang haid?
Para ulamak khilaf tentang masalah ini..
Menurut jumhur ulamak, perempuan mengandung tidak ada kemungkinan datangnya haid. Maka jika seorang wanita melihat darah keluar melalui farajnya semasa ia sedang mengandung, darah itu bukan darah haid, tetapi darah penyakit.

Menurut Imam Syafie, Malik perempuan mengandung ada kemungkinan datangnya haid. Menurut mereka, jika perempuan yang mengandung itu mendapati darah keluar dari farajnya dan keluarnya menepati hari-hari kebiasaan haidnya serta kelihatan ciri haid pada darah tersebut, maka darah itu adalah darah haid. (yang ni kalau kena dengan tarikh haidnya)


Berapa lamakah tempoh paling singkat berlakunya haid dan berapa pula tempoh paling panjang atau paling lama? 
Dalam menentukan tempoh paling singkat dan tempoh paling panjang bagi haid, para ulamak berbeza pandangan;
1. Menurut Imam Syafie: 
  • Tempoh haid yang paling singkat : sehari semalam (yakni 24 jam) secara berterusan.[
  • Tempoh kebiasaan wanita kedatangan haid ialah selama 6 atau7 hari.
  • Tempoh paling panjang bagi haid ialah 15 hari. 
Maka berdasarkan pandangan ini; jika darah yang datang kurang dari sehari semalam atau melebihi lima belas hari, maka ia bukan darah haid tetapi darah penyakit atau istihadhah.

2. Bagi Imam Abu Hanifah dan as-Sauri pula; tempoh haid paling singkat ialah tiga hari dan tempoh paling panjang ialah 10 hari.
3. Mengikut Imam Malik pula, tidak ada batasan bagi tempoh haid yang paling singkat, yakni ada kemungkinan haid datang sedetik sahaja. Adapun tempoh paling panjang, terdapat tiga riwayat dari beliau iaitu; 15 hari, 17 hari atau tiada batasan.

Suci di antara hari-hari kebiasaan haid, adakah ia haid atau tidak?
Dalam persoalan ini ada khilaf di kalangan ulamak;
a) Mazhab Syafie dan Abu Hanifah berpendapat; suci yang berlaku pada hari-hari haid dikira sebagai haid. Oleh demikian, jika seorang wanita mendapati satu hari keluar darah dan satu hari berikutnya suci (di mana ia mengetahui suci itu sama ada dengan keringnya darah atau dengan ia meletakkan kapas dan tiada kesan darah haid pada kapas), kemudian hari berikutnya datang semula darah, maka menurut pandangan ini keseluruhan hari adalah haid.
Berkata Imam Khatib as-Syirbini dalam al-Iqna’; “Suci antara darah-darah sama ada dalam tempoh minima haid (iaitu sehari semalam) atau lebih adalah dikira haid kerana mengikutinya (yakni mengikuti haid), tetapi dengan beberapa syarat, iaitu;
a) Tempoh suci itu tidak melebihi 15 hari.
b) Darah-darah haid (yang keluar secara keseluruhannya) tidak kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam.
c) Suci itu hendaklah dikelilingi antara dua darah haid”.

Apakah larangan-larangan Syarak ke atas wanita yang kedatangan haid?
Wanita haid dilarang/diharamkan oleh Syarak untuk melakukan perkara-perkara berikut:
a) Mengerjakan solat
b) Melakukan tawaf
c) Menyentuh mushaf dan membawanya
d) Membaca al-Quran
e) Berhenti atau menetap di dalam masjid (termasuk beriktikaf)
f) Melintasi masjid jika dikuatiri akan mencemarkan masjid
g) Berpuasa
h) Bersetubuh dengan suami
i) Dijatuhkan talak ke atasnya
Semua larangan di atas tidak terangkat kecuali setelah mandi wajib melainkan tiga larangan sahaja iaitu; puasa, talak dan melintasi masjid di mana ketiga-tiga larangan ini terangkat sebaik sahaja kering darah haid atau nifas, iaitu tidak disyaratkan selepas mandi barulah perkara-perkara tersebut harus dilakukan.

Bila wanita haid dibolehkan mandi wajib?
Bila ia mendapati darah haidnya telah habis, yakni telah kering. Sabda Nabi s.a.w. dalam hadis ‘Aisyah r.a. (mengikut satu riwayat darinya); “Apabila haid kamu telah habis, maka mandilah dan tunaikanlah solat”.


Apakah cara untuk memastikan darah haid benar-benar habis?
Lakukan pemeriksaan terhadap faraj, iaitu dengan memasukkan cebisan kain, kapas atau sebagainya ke dalam faraj dan melihat sama ada masih terdapat kesan darah haid atau tidak. Jika tidak ada kesan darah haid sama ada tidak nampak sebarang warna pada kain/kapas tersebut atau nampak warna putih seperti kapur, maka ketika itu barulah diharuskan mandi. Jika masih ada sebarang kesan warna darah atau warna kuning atau keruh, tidak harus mandi lagi kerana darah haid belum habis.

Kaedah pemeriksaan di atas diambil daripada amalan wanita-wanita sahabat sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih” (HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik).



P/s : Sebarang persoalan tentang supplement untuk haid teratur, kesuburan, monopous dan sebagainya berkaitan wanita boleh contact Yam ya..:)  :

Id Shaklee : 961720
Whasapp : 013 9020247

No comments:

Post a Comment